Isnin, 25 Jun 2012

Ingin Jadi Pelaut? ... Taip di ruangan Shoutbox



SAYA terpanggil untuk menulis di ruangan ini setelah terbaca luahan hati seorang penulis yang menggunakan nama Belum Jadi Pelaut, Johor yang tersiar pada 17 Januari lalu mengenai kelayakan membawa bot atau kapal.
Saya mengucapkan terima kasih kerana menyiarkan komen Belum Jadi Pelaut. 
Memang benar seseorang pelaut perlu mempunyai sijil kecekapan dan bukannya bergantung kepada pengalaman dan kecekapan individu semata-mata.

Ini dinyatakan dalam Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang menghendaki setiap pelaut sama ada jurumudi, juruenjin, kelasi dek dan navigasi memiliki sijil kecekapan Part IIB The Domestic Shipping License Board. (Sila rujuk laman web di alamat http://www.marine.gov.my/ law/o_domes tic.pdf)

Sijil berkenaan amat perlu bagi seseorang pelaut kerana setiap pendakwaan di mahkamah yang membabitkan agensi kerajaan akan menghendaki individu berkenaan mempamerkan bukti bahawa mereka seorang pelaut jika diminta pihak mahkamah.

Ini bermakna setiap jabatan kerajaan yang berkaitan maritim mahupun swasta tidak terkecuali dalam mempunyai sijil kecekapan dan kemahiran sama ada pegawai dan anggota yang memiliki sijil kecekapan Part III Master and Seaman. (Sila rujuk laman web di alamat http://www.marine.gov.my/law/o_masters.pdf)

Untuk menjadi pelaut seseorang perlu menduduki peperiksaan yang dikawal selia Jabatan Laut Malaysia dan Akademi Laut Malaysia (Alam) di institusi latihan kerajaan dan pembekal latihan maritim swasta yang diiktiraf Jabatan Laut Malaysia seperti yang termaktub dalam Konvensyen STCW 78 Seperti Dalam Pindaan DLL (Convention STCW 78 AS Amended ETC), Kod Antarabangsa BBMA (International IMDG Code) dan Kod Antarabangsa SAKP/PKA (International ISPS/ISM Code), selain dari tempat di atas adalah tidak diiktiraf oleh Jabatan Laut Malaysia.

Penguatkuasaan berkala Jabatan Laut juga dijalankan ke atas semua kapal dagang, vesel kerajaan atau persendirian bagi memastikan mereka mematuhi peraturan kelayakan membawa bot dan kapal semasa di laut dan sungai.

Ini kerana jika berlaku sesuatu kemalangan di laut siasatan pertama adalah sijil kecekapan membawa kapal untuk tujuan siasatan jabatan.

Saya juga pernah melihat takwim tahunan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) 2011 yang menghendaki setiap jurumudi APMM menghadiri kursus Mate Domestic 500GT di Alam, Melaka.

Sijil kecekapan amat perlu bagi setiap pelaut kerana kita diberi kepercayaan membawa bot atau kapal, lebih-lebih lagi membawa aset kerajaan walaupun dipantau pegawai atasan terbabit.

Bekas tentera laut juga dikehendaki mengambil semula sijil kecekapan setelah diserapkan ke APMM walaupun mereka mahir dalam bidang kelautan.

Oleh itu, APMM adalah tertakluk juga dalam Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (sila rujuk laman web di alamat http://www.marine.gov.my) sama seperti Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, Kastam Marin, Pasukan Gerakan Marin, Jabatan Taman Laut, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat iaitu agensi penguat kuasa kerajaan yang memerlukan sijil berkenaan.

Penjelasan ini adalah menerangkan kedudukan sebenar seorang pelaut setelah keluar dari perkhidmatan tentera dan diserapkan ke sektor awam.


SUDAH JADI PELAUT
Port Klang, Selangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan